Selasa, 20 Januari 2015

Cebisan Kenangan

~Kehilangan Yang Menghidupkan~

Rentetan pemergian seorang pemuda pilihan Allah. Tanpa sepatah kata atau pamitan, ajal datang menjemput beliau..

Memasuki hari ke4 pemergian beliau ke alam baqa’ buat selamanya. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Yang mungkin perit dan sayu menerima hakikat sebuah kehilangan anakanda tercinta, pergi mendahului mereka.

Bagai terkesan di hati, bilamana mendengar perkhabaran duka ini. Biarpun begitu, sentiasa cuba menyakini hikmah yang DIA aturkan untuk kehidupan ini.

Hari ini, dikhabarkan bahawa beliau yang pergi, merupakan salah seorang penyokong keluarga besar Mahasiswa Pendidik. Allahurobbi. Runtun rasa di hati. Sebak menyapa diri. Hakikat sebenar bilamana bergelumang dengan keluarga MP, hanya orang-orang yang merasai, akan merasai. Namun, beliau sanggup menaruh apa sahaja daya beliau buat sahabat yang bertanding tempoh hari. Bagaikan mengerti inilah peluang teakhir untuk beliau meninggalkan kenangan buat teman-teman di sisi.

" Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia menetapkan ajal (kematianmu), dan batas waktu tertentu yang hanya diketahui olehNya......." -Al An'am : 02-

Bukan mudah menerima perkhabaran duka ini. Terutamanya insan-insan yang rapat dengan diri beliau. Perginya sekelip mata. Lemas akibat bermain kayak, asbab yang nyata. Namun, kita sebagai Muslim, wajib percaya pada Qada' dan QadarNya.

" Tiap-tiap yang bernyawa, pasti akan merasakan mati, Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya) dan hanya kepasa Kami lah kamu akan dikembalikan." -Al Anbiya':35-




-credit to sahabat beliau-


-semangat yang dikau tinggalkan buat kami, untuk diteladani oleh manusia sekeliling..
di sebalik maskot itu, jasamu akan dikenang hingga ke akhir..Allah-


Wahai Amirul Haqim Ishak,
Damailah dikau di alam sana,
Pemergian dikau memberi kami 1001 rasa dalam diri,
Kehilangan ini mengajar kami sesuatu yang hakiki,
Kenangan kita bersama,
Sewaktu berjuang di Pilihanraya Kampus tempoh hari,
Akan kami jadikan azimat,
Untuk masa yang mendatang,
Semangat yang dikau tonjolkan,
Kami akan pastikan ia menjadi panduan,
Buat pelapis-pelapis di medan perang..

Wahai Amirul Haqim Ishak,
Tenanglah dikau di sana,
Biarpun pada hakikatnya,
Kita tidaklah saling mengenali,
Namun jiwa besar yang dikau tinggalkan buat kami,
Menjadi satu kenangan untuk kami,
Untuk terus mengenang jasa yang dikau taburkan,
Kami redha atas pemergianmu,
Karna kami tahu,
Sudah waktu dirimu bertemu Yang Satu,
Doa kami mengiringi dikau..

Duhai Rabbi,
Peliharalah sahabat kami ini,
Cucurilah rahmat dan maghfirahMu buat beliau,
Sesungguhnya kami menjadi saksi,
Atas pengorbanan yang beliau lakukan buat kami,
Sesungguhnya kami merasa kehilangan,
Karna beliau yang pergi seorang yang berjiwa besar..

Duhai Rabbi,
Ini saat pengakhiran nafas dia,
Redha kan segala apa yang dia pernah lakukan,
Kami mengangkat tangan padaMu, Ya Rabb,
Berkatilah hidup sahabat kami, Amirul Haqim Ishak,
Sepanjang nafas beliau di bumiMu ini..



-Dalam Kenangan : MAHI 19912015-
-Al fatihah-

1 ulasan:

  1. Allahu...😭
    Moga tempat mu mulia disisi Yang Esa.
    Merasai kehilgnnya.. Meskipun tidak sempat mengenali.
    Doa dan kiriman Alfatihah kami tujukan buatmu..
    Tenanglah dikau disana..

    BalasPadam